Liputan Berita Mesyuarat Agung JASRA ke 16

Logo JASRA yang terbaru

Pada tanggal 18 Februari 2023, bermula lebih kurang jam 10.30 pagi, Mesyuarat Agung JASRA kali ke 16 telah dilaksanakan di Rumah Kelab JASRA di Kluang, Johor. Tiada pemilihan jawatan pada Mesyuarat Agung kali ini, namun kehadiran daripada rakan-rakan sangat menggalakkan, disamping cabutan bertuah dan jamuan hidangan makan tengahari yang sangat menyelerakan.

 

Satu perkara yang menarik ialah ahli telah membuat pengundian bagi memilih logo JASRA yang baru, sesuai dengan sedikit pindaan nama persatuan yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada 16 Novembar yang lalu iaitu Persatuan Jalur Selatan Radio Amatur Malaysia (JASRA) yang berstatus Kebangsaan.

Mesyuarat juga telah sebulat suara meluluskan Minit Mesyuarat Agung yang lalu, Pembentangan Aktiviti tahun 2022, Penyata Kewangan Profit & Loss 2022, perkara berbangkit dan sedikit usul pindaan perlembagaan. Antara perkara yang disentuh dan dibincangkan ialah cadangan pemasangan repeater dilokasi baru, senggaraan repeater, penjualan cenderahati, Membership Online System, status Echolink dan aset/harta JASRA.

Selain dari itu, rakan-rakan yang hadir begitu teruja apabila JASRA telah menyediakan hadiah-hadiah yang sangat menarik untuk cabutan bertuah berupa gadget elektronik dan aksesori kepada mereka yang bernasib baik.

Pengerusi KRAM sedang memberikan taklimat

Selain dari itu, beberapa orang sahabat dari Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM) yang diketuai oleh 9W2ZZD Azri Ariffuddin bin Rosli atau lebih dikenali dengan Zack juga telah hadir memberikan taklimat tentang objektif dan latar belakang persatuan kebajikan yang telah menjalankan aktiviti kebajikan kepada rakan-rakan radio amatur yang ditimpa musibah sakit, kemalangan atau meninggal dunia. KRAM sangat memerlukan sokongan dari semua rakan untuk menjadi ahli dan bersama mengumpul dana untuk melaksanakan aktiviti kebajikan. Mereka yang berminat, silalah mengisi borang menjadi ahli secara online di sini.

Pengurusan JASRA ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada sahabat radio amatur di Daerah Kluang yang diketuai oleh Saudara Norhisham bin Yusop yang telah membuat persiapan yang rapi khususnya kemudahan tempat mesyuarat, kerusi, meja, pembesar suara, tempat makan dan juadah hidangan yang sangat lazat dan menyelerakan, disamping kuih muih dan minuman sejuk/panas.