Simposium Radio Amatur Malaysia 2019

Persatuan-Persatuan Radio Amatur Malaysia dengan kerjasama dan sokongan penuh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) buat julung kalinya akan menganjurkan Simposium Radio Amatur Malaysia 2019 pada Sabtu, 20 Julai 2019 bertempat di Dewan Auditorium MCMC (Bangunan Lama) Cyberjaya. Adalah difahamkan kehadiran simposium ini atas dasar jemputan oleh SKMM melalui surat kepada semua Persatuan / Kelab Radio Amatur di Malaysia. Hanya wakil persatuan iaitu seramai 3 orang sahaja yang mengesahkan pendaftaran kehadiran boleh menyertai simposium tersebut.

Simposium sehari ini bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang akan membincangkan banyak perkara berkaitan dengan Radio Amatur di Malaysia khususnya. Antara topik yang akan dibentangkan oleh penceramah yang terdiri dari aktivis dan penggiat Radio Amatur adalah berkaitan dengan Sumbangan dan Khidmat Radio Amatur, Kesedaran dan Promosi Radio Amatur, Peranan dan Pentingnya Radio Amatur Dalam Sistem Pendidikan dan beberapa lagi topik yang menarik yang akan dibentangkan oleh penceramah.

Simposium sebegini merupakan satu inisiatif terpuji oleh SKMM dalam meningkatkan industri radio amatur daripada hanya hobi kepada suatu aktiviti yang dapat menyumbang kepada ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi dan membuka kesedaran kerajaan serta masyarakat terhadap pentingnya sumbangan radio amatur kepada negara.

Tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Kerja Simposium 2019 yang telah dilantik oleh SKMM, iaitu terdiri dari Persatuan-persatuan Radio Amatur Malaysia yang telah bertungkus lumus merancang dan mengkoordinasi Simposium Radio Amatur 2019. Mudah-mudahan usaha sebegini akan berterusan demi mempertingkatkan industri hala tuju radio amatur di masa hadapan

“Menuju Ke Hadapan”
“The Way Forward”