Tahniah kepada Kebajikan Radio Amatur Malaysia (KRAM)

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan tahniah kepada Kebajikan Radio Amatur Malaysia (KRAM) yang telah melaksanakan begitu banyak aktiviti lawatan dan sumbangan kepada rakan-rakan radio amatur di seluruh negara, khususnya mereka yang sedang sakit atau telah meninggal dunia. Cogan kata Berhobi dan Beramal sangat jelas dengan objektif dan matlamat penubuhannya.

Penulis telah berkesempatan bertanyakan kepada pengasas KRAM, 9W2ZZD Azri Ariffuddin bin Rosli atau lebih dikenali dengan panggilan Zack, seorang pesara tentera yang menyatakan bahawa tercetusnya idea untuk mengadakan aktiviti kebajikan kepada rakan-rakan radio amatur ini bermula dari tahun 2019 semasa eyeball rakan-rakan ham Simpang Semarak, Kuala Lumpur atau dikenali dengan nama Group Eyeball Simpang Semarak.

Bermula dari situ, dengan sokongan yang sangat positif dari rakan-rakan, usaha-usaha mengumpul dana giat dilaksanakan dengan mendapat sumbangan dari rakan-rakan dari seluruh negara. Pada awalnya, sumbangan diberikan dalam bentuk wang tunai kepada yang memerlukan dan perkembangan terakhir sumbangan diberikan dalam bentuk barangan makanan keperluan memasak dalam kotak. Menurut beliau, kotak disumbangkan oleh Majlis Belia Malaysia sebanyak 100 biji.

Difahamkan sehingga kini, sebanyak 13 siri aktiviti kebajikan ini telah dilaksanakan ke seluruh negara meliputi kawasan tengah, utara, selatan dan timur. Juga termasuk di Sarawak dan Sabah yang mana dana terkumpul disalurkan kepada wakil disana untuk diserahkan kepada rakan yang memerlukan.

Dalam usaha untuk memperkemaskan organisasi, jawatankuasa penaja pertubuhan telah diwujudkan untuk mendaftarkan pertubuhan dengan nama Kebajikan Radio Amatur Malaysia yang sehingga kini masih menunggu kelulusan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Beliau sangat berharap kelulusan segera dapat diperolehi untuk membuka akaun bank atas nama pertubuhan untuk lebih memudahkan rakan-rakan membuat sumbangan derma amal jariah untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau menambah, atas nasihat rakan-rakan, penubuhan organisasi secara rasmi sangat diperlukan demi mengelakkan salah anggapan atau boleh menimbulkan fitnah terhadap dana yang dikumpul sebelum ini.  Begitu banyak perkongsian gambar dan video dalam facebook beliau di https://www.facebook.com/zack.zzd.

Sesungguhnya rakan-rakan radio amatur dari seluruh negara sangat terharu dengan usaha murni ini dan seharusnya memberikan sokongan dalam apa bentuk sekali pun. Semoga dengan terdaftarnya organisasi ini secara rasmi nanti dengan mengadakan website dan perkongsian melalui sosial media akan lebih menyemarakkan aktiviti kebajikan khususnya kepada rakan radio amatur di seluruh negara. Tahniah sekali lagi.

Admin