Hari Amal Antarabangsa Sehati Kluang

JASRA Daerah Kluang telah menerima jemputan untuk menyertai aktiviti pameran sempena Hari Amal Antarabangsa Sehati Kluang yang akan diadakan pada 14 dan 15 September bertempat di Dewan Jubli Intan Kluang. Acara ini dianjurkan oleh pejabat Dewan Undangan Negeri Mengkibol, adalah difahamkan acara yang serupa telah dianjurkan pada tahun lepas pada 8 dan 9 September 2018 dan telah berjaya menarik pengunjung dengan anggaran 30 ribu orang dan berjaya membuat kutipan derma amal sebanyak RM 84,000. “Hari Amal Antarabangsa KLUANG 2019 akan dijadikan sebagai satu platform perkongsian, untuk menjalinkan perhubungan dan kerjasama antara badan beramal, pertubuhan kebajikan, unit kerajaan dan pihak yang berkenaan untuk menjayakan usaha-usaha amal di sini” , kata ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin.

Menurut 9W2TLX Tuan Zin selaku ketua aktiviti JASRA Kluang, antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah pameran peralatan radio, demonstasi QSO dan tayangan video aktiviti radio amatur. Difahamkan juga rakan-rakan yang akan terlibat ialah 9M2TTT, 9W2JRV, 9W2ULX, 9W2KKV, 9W2MPX dan ramai lagi. Adalah diharapkan aktiviti sebegini akan menambah percambahan ilmu, semangat setiakawan dan kerjasama dikalangan rakan-rakan JASRA Daerah Kluang atau dikenali juga dengan nama Wilayah 51, merujuk kepada simplex V51.

Bagi rakan-rakan yang berkelapangan, silalah luangkan sedikit masa berharga anda untuk sama-sama menyokong dan membantu aktiviti tersebut, bukan sahaja di Daerah Kluang, tetapi dari mana-mana sekalipun yang berkesempatan dan berkelapangan atas semangat kekeluargaan dan semangat ham radio @ ham spirit. Mudah-mudahan aktiviti seperti ini akan menarik minat orang awam untuk mengetahui apa itu radio amatur dan seterusnya menyertainya.

Diharapkan juga rakan-rakan dapat mendokumentasikan aktiviti yang berlangsung tersebut dengan mengambil video dan gambar serta membuat sedikit penceritaan supaya aktiviti ini dapat direkodkan di dalam laman web JASRA serta Youtube.

Rujukan:

Roketkini
Facebook ADUN Mengkibol