Siaran Akhbar – STRUKTUR BAHARU PERAKUAN PENGENDALI RADIO AMATUR

Link Asal: Siaran Akhbar MCMC

CYBERJAYA, 30 Disember 2022 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan, terdapat perubahan kepada struktur perakuan pengendali radio amatur seperti berikut:

i. Format peperiksaan;
ii. Silibus peperiksaan;
iii. Syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan;
iv. Pengenalan kepada Kelas C;
v. Ujian Kod Morse untuk menaik taraf ke Kelas A digantikan dengan peperiksaan pilihan jawapan berkomputer; dan
vi. Penggunaan frekuensi dan had kuasa pancaran bagi setiap kelas.

Perubahan kepada struktur perakuan pengendali radio amatur ini adalah selaras dengan pindaan kepada Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 (iaitu bagi peruntukan yang berkaitan dengan radio amatur).

Perubahan kepada struktur ini adalah untuk memastikan perakuan pengendali radio amatur yang diadakan di Malaysia sejajar dengan praktis yang diamalkan di negara-negara lain. Perubahan ini juga bertujuan untuk menggalakkan minat kalangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui radio amatur dan menjurus kepada peningkatan pengendali radio amatur yang dapat membantu ketika bencana.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada “Guidelines for Amatuer Radio global practices, Service in Malaysia (3 rd Edition)” untuk mendapatkan maklumat berkenaan struktur baharu ini. Pihak MCMC juga telah menerbitkan “Handbook on Amateur Radio (1st Edition)” sebagai bahan rujukan tambahan kepada orang awam yang berminat untuk menduduki peperiksaan radio amatur.

Bank soalan telah diwujudkan oleh pihak MCMC bagi ketiga-tiga kelas radio amatur untuk memberi pendedahan kepada orang awam berkenaan dengan contoh-contoh soalan peperiksaan di samping membantu calon untuk membuat persediaan awal. Ketiga-tiga dokumen ini boleh didapati di laman sesawang rasmi MCMC: https://mcmc.gov.my/en/amateur-radio-operatorcertification Sebarang pertanyaan lanjut berhubung dengan urusan permohonan untuk menduduki peperiksaan radio amatur boleh diajukan kepada e-mel di
sems.admin@mcmc.gov.my.

JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT MCMC

Muat turun Salinan dalam PDF